About Me

My photo
gua ni xde la hensem sgt, tp adalah 2-3 org yg tepikat..gua ni baik hati, pnyabar, solat jrg tggl, puasa pn sma..gua mna da mrh bdak kcik, gua mrh bdak bsr je..

Sunday, February 1, 2009

Kisah Menyayat Hati

Semasa aku darjah 5, ada satu peristiwa yang paling sedih buat aku dan sukar untuk aku melupakannya iaitu aku ayah telah meninggal dunia kerana sakit jantung. Apa yang paling aku sedih ialah ayah aku meninggal secara mengejut, tiba-tiba sahaja sakit tu datang dan terus meninggal. Aku masih ingat ayah aku mati pada bulan Ramadhan, pada hari Jumaat. Kalau tak silap aku pada 7 november 1997. Pada malam sebelum ayah meninggal dunia, iaitu pada malam Jumaat, sekitar jam 9.30 malam, ayah sempat berpesan kepada abang aku yang ketiga agar selalu bersedekah al-Fatihah kepadanya setelah ayah meninggal dunia sambil memeluk-meluk abang aku yang yang ketiga, iaitu abang Wan. Selepas itu, abang Wan tertidur. Lebih kurang jam 10.45, tiba-tiba ayah sesak nafas dan sukar untuk bernafas. Mak pun segera menelefon ambulan dan lebih kurang jam 11.15, ayah dikejarkan ke Hospital Besar, Pasir Mas. Ayah diberikan bantuan kecemasan dan doktor mengatakan bahawa keadaan ayah stabil. Semua sanak-saudara aku berkumpul di hospital itu kecuali abang yang ketiga yang sedang nyenyak tidur di rumah. Oleh kerana doktor mengatakan keadaan ayah stabil, semua sanak-saudara aku pulang ke rumah kecuali abang aku yang sulung, iaitu abang Man yang menemani ayah di sisi. Tetapi apakan daya, Allah lebih menyanyangi ayah. Tepat jam 2.45 pagi, tiba-tiba ayah diserang sakit jantung untuk kali kedua. Kali ini lebih teruk dari yang sebelumnya. Ayah meronta-ronta kesakitan dan setelah diajar kalimah syuhadah oleh abang Man, ayah menghembuskan nafas terakhir jam 2.55 pagi hari Jumaat. Tepat jam 3.00 pagi, telefon rumah berdering, mak meraung-raung kesedihan dan menangis. Raungan ibu didengari oleh jiran-jiran dan sanak-saudara bersebelahan rumah dan mereka menuju ke rumah aku untuk mengetahui punca raungan ibu. Ibu hanya mampu menangis. Sanak-saudara dan jiran-jiran seolah-olah tahu punca raungan ibu itu dan turut menangis. Mereka tahu ayah telah tiada. Dan saat yang paling menyedihkan, abang Wan terjaga dari tidurnya yang nyenyak dan kebingungan melihat ibu dan sanak-saudara sedang menangis dan pantas menuju ke ruang tamu untuk bertanyakan punca tangisan itu. Ibu tidak mampu berkata apa-apa dan hanya mampu memeluk abang Wan sambil menangis teresak-esak. Mak Long aku menjelaskan perkara sebenar kepada abang Wan mengenai kematian ayah. Sebelum ini, abang Wan tidak tahu-menahu tentang ayah diserang penyakit jantung kerana sedang nyenyak dilamun tidur. Sedar-sedar, hanya tahu ayah sudah tiada. Abang Wan meraung-raung kesedihan dan memarahi ibu kerana tidak mengejutkannya dari tidur dan memberitahu tentang ayah yang sedang sakit di hospital. Abang Wan seolah-olah tidak dapat menerima berita tentang kematian ayah, dan menafikannya. Mengikut teori Psikoanalisis yang dikemukakan oleh Sigmund Freud, mekanisma bela diri berbentuk penafian yang melibatkan keengganan untuk mengakui realiti yang tidak disenangi dengan menafikan kewujudannya. Kebanyakkan manusia enggan menerima realiti, kematian orang yang disayangi, menafikan kritikan kata-kata doktor tentang diagnosis penyakit seseorang. Ini adalah untuk mengelakkan tekanan dan melindungi seseorang daripada konflik dan masalah sebenar yang dihadapi di dalam kehidupan seharian. Benarlah apa yang diperkatakan oleh tokoh tersebut. Sehingga sekarang abang Wan seolah-olah tidak percaya dan menafikan ayah telah meninggal. Ini kerana abang Wan tidak pun tahu di saat ayah sedang sakit, yang dia tahu hanyalah berita tentang kematian ayah.
Selepas itu, aku sekeluarga bergegas ke hospital untuk menuntut jenazah ayah. Tepat jam 4.00 pagi, jenazah ayah tiba di rumah dan sanak-saudara membaca surah Yassin di sisi jenazah. Surah Yassiin dibaca bagi mengelakkan jenazah tersebut diganggu oleh syaitan dan jin dan ia sebagai tanda penghormatan dan sedekah kepada Si Mati. Sementara menunggu jenazah di sempurnakan, ribuan kawan-kawan dan sanak-saudara membanjiri rumah untuk menatapi ayah buat kali yang terakhir sambil mengucapkan takziah kepada keluarga aku. Selepas jenazah siap dimandikan dan dikafankan, aku dan abang-abang sempat mengucup dahi ayah buat kali yang terakhir. Sebelum solat Jumaat, lebih kurang jam 11.15 pagi, jenazah ayah selamat dikebumikan tanpa sebarang masalah. Pada hari itu, hujan renyai-rentai membasahi bumi seolah-olah merahmati pemergian ayah.

1 comment:

  1. setiap insan pasti akan menemui penciptaNya satu masa yang telah ditetapkan.. smoga roh arwah dan semua muslimin dan muslimat akan terus dicucuri rahmat Allah Yang Maha Esa

    ReplyDelete

The Number Of View Me